02 Disember 2010

Harapan pesakit neurovaskular

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

MUNGKIN anda sedang mengidap penyakit AVM dan bukan sakit kepala biasa.


JARI tangan Pakar Bedah Saraf terkemuka dunia, Profesor Dr. Micheal K. Morgan memegang lembut alat bedah ketika melakukan pembedahan neurovaskular pesakit yang disahkan mengalami Arteriovenous Malformation atau Malformasi arterio vena (AVM).

Suasana di bilik bedah itu senyap seketika apabila Dr. Morgan memulakan torehan kepala seorang pemuda. Hanya sesekali bunyi alat penyedut cecair memecah kesunyian. Bau hanyir darah seperti tidak mengganggu langsung pasukan pembedahan Dr. Morgan yang dibantu oleh Perunding Pakar Bedah Saraf dari Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Jagdeep Singh (terdapat 20 orang dalam pasukan pembedahan termasuk jururawat dan pakar anestisia).

Dengan penuh teliti umpama melukis sesuatu, perhatian dua pakar tersebut tertumpu pada mikroskop digital. Torehan itu mendedahkan selaput otak yang berwarna putih kemerah-merahan.

Kemudian, seorang petugas membersihkan kawasan itu supaya saraf otak lebih jelas kelihatan. Bahagian itu dicuci sebelum proses pembedahan dimulakan.

Empat tahun lalu, pemuda yang berusia 22 tahun itu mengalami sakit kepala yang teruk. Dia menyangkakan sakit kepala itu hanya perkara normal seperti yang dialaminya sebelum ini.

Pemuda itu telah menjalani ujian imbasan (CT Scan) otak dan ujian imbasan resonan bermagnet (MRI) pada 2006. Akhirnya, penderitaan sakit kepalanya terjawab apabila dia didiagnosis mengalami AVM.

Kehadiran Dr. Morgan tahun ini ternyata membawa tuah kepada pemuda itu apabila Dr. Morgan telah menjalinkan kerjasama dengan Gleneagles bagi memulakan rawatan neurosurgeri bertahap tinggi di Malaysia.

Pesakit neurovaskular itu kini mempunyai harapan.

Pendarahan

Kebanyakan masyarakat pada hari ini sering mengaitkan sakit kepala dengan penyakit “migrain”. Namun, hakikatnya tidak ramai yang mengetahui tentang penyakit AVM. Penyakit itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira usia tua mahupun muda. Mungkin anda sedang mengidap penyakit AVM dan bukan sakit kepala biasa.

Pada 21 November lalu, Dr. Morgan telah mengendalikan dua prosedur pembedahan secara langsung yang membabitkan AVM dan pembedahan aneurisme.

Jika diperhatikan, kedua-dua kes itu mempunyai simptom yang sama iaitu sakit kepala yang teruk, mual, muntah dan kejang di bahagian leher.

Menurut Dr. Morgan, AVM merupakan pengumpulan saluran darah secara tidak normal di otak. Keadaan ini disusuli dengan pendarahan dalam otak atau sawan.

“Kebiasaannya rawatan untuk AVM sangat kompleks dan boleh membabitkan pelbagai kaedah. Diagnosis terhadap AVM boleh dilakukan dengan menjalankan prosedur angiogram dan imbasan MRI,” ujarnya.

Jika dibiarkan tanpa rawatan, pendarahan dalam otak yang berulang boleh mengancam nyawa. Pilihan rawatan bagi AVM adalah termasuk pembedahan atau terapi radiasi.

Tambah Dr. Morgan, embolisasi iaitu pemotongan peredaran darah ke AVM boleh digunakan sebagai tambahan kepada kaedah rawatan AVM.

“Dalam kes tertentu pesakit akan memerlukan kombinasi kaedah pembedahan, terapi radiasi atau embolisasi,” ujarnya.

AVM adalah gumpalan saluran darah yang tidak normal dan tidak mempunyai kapilari di antara arteri dan vena. Ini menyebabkan pertukaran tekanan yang tidak terurus secara berkala di antara arteri dan vena. Menurut Pakar Bedah saraf Hospital Kuala Lumpur, Dr Ramesh Narenthiranathan, tekanan yang tinggi dari arteri menyebabkan pengembangan salur vena yang tidak terkawal dan tidak normal.

“Pengembangan ini, jika tidak dibendung, akan menipis dan akhirnya pecah disebabkan tekanan darah yang tinggi. Pandangan dan nasihat pakar bedah otak adalah perlu bagi memastikan rawatan yang paling sesuai dan berkesan bagi merawat penyakit ini,” ujar beliau.

Dr. Ramesh menjelaskan AVM boleh berlaku di mana sahaja di dalam bahagian otak kita, sama ada besar mahupun kecil. Apabila pendarahan berlaku, pendarahan ini adalah sedikit jika dibandingkan dengan pendarahan yang berpunca akibat daripada pendarahan ‘‘hypertensive”. Ramai pesakit mengalami kesakitan yang amat sangat namun, tidak ramai yang menyedari bahawa mereka sebenarnya pengidap penyakit AVM. Antara tanda-tandanya ialah kesakitan di bahagian sebelah kiri mahupun kanan kepala dan apabila perkara ini berlaku, pesakit perlulah menjalani rawatan imbasan CT atau MRI.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan