02 Disember 2010

Harapan pesakit neurovaskular

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH

MUNGKIN anda sedang mengidap penyakit AVM dan bukan sakit kepala biasa.


JARI tangan Pakar Bedah Saraf terkemuka dunia, Profesor Dr. Micheal K. Morgan memegang lembut alat bedah ketika melakukan pembedahan neurovaskular pesakit yang disahkan mengalami Arteriovenous Malformation atau Malformasi arterio vena (AVM).

Suasana di bilik bedah itu senyap seketika apabila Dr. Morgan memulakan torehan kepala seorang pemuda. Hanya sesekali bunyi alat penyedut cecair memecah kesunyian. Bau hanyir darah seperti tidak mengganggu langsung pasukan pembedahan Dr. Morgan yang dibantu oleh Perunding Pakar Bedah Saraf dari Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Jagdeep Singh (terdapat 20 orang dalam pasukan pembedahan termasuk jururawat dan pakar anestisia).

Dengan penuh teliti umpama melukis sesuatu, perhatian dua pakar tersebut tertumpu pada mikroskop digital. Torehan itu mendedahkan selaput otak yang berwarna putih kemerah-merahan.

Kemudian, seorang petugas membersihkan kawasan itu supaya saraf otak lebih jelas kelihatan. Bahagian itu dicuci sebelum proses pembedahan dimulakan.

Empat tahun lalu, pemuda yang berusia 22 tahun itu mengalami sakit kepala yang teruk. Dia menyangkakan sakit kepala itu hanya perkara normal seperti yang dialaminya sebelum ini.

Pemuda itu telah menjalani ujian imbasan (CT Scan) otak dan ujian imbasan resonan bermagnet (MRI) pada 2006. Akhirnya, penderitaan sakit kepalanya terjawab apabila dia didiagnosis mengalami AVM.

Kehadiran Dr. Morgan tahun ini ternyata membawa tuah kepada pemuda itu apabila Dr. Morgan telah menjalinkan kerjasama dengan Gleneagles bagi memulakan rawatan neurosurgeri bertahap tinggi di Malaysia.

Pesakit neurovaskular itu kini mempunyai harapan.

Pendarahan

Kebanyakan masyarakat pada hari ini sering mengaitkan sakit kepala dengan penyakit “migrain”. Namun, hakikatnya tidak ramai yang mengetahui tentang penyakit AVM. Penyakit itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira usia tua mahupun muda. Mungkin anda sedang mengidap penyakit AVM dan bukan sakit kepala biasa.

Pada 21 November lalu, Dr. Morgan telah mengendalikan dua prosedur pembedahan secara langsung yang membabitkan AVM dan pembedahan aneurisme.

Jika diperhatikan, kedua-dua kes itu mempunyai simptom yang sama iaitu sakit kepala yang teruk, mual, muntah dan kejang di bahagian leher.

Menurut Dr. Morgan, AVM merupakan pengumpulan saluran darah secara tidak normal di otak. Keadaan ini disusuli dengan pendarahan dalam otak atau sawan.

“Kebiasaannya rawatan untuk AVM sangat kompleks dan boleh membabitkan pelbagai kaedah. Diagnosis terhadap AVM boleh dilakukan dengan menjalankan prosedur angiogram dan imbasan MRI,” ujarnya.

Jika dibiarkan tanpa rawatan, pendarahan dalam otak yang berulang boleh mengancam nyawa. Pilihan rawatan bagi AVM adalah termasuk pembedahan atau terapi radiasi.

Tambah Dr. Morgan, embolisasi iaitu pemotongan peredaran darah ke AVM boleh digunakan sebagai tambahan kepada kaedah rawatan AVM.

“Dalam kes tertentu pesakit akan memerlukan kombinasi kaedah pembedahan, terapi radiasi atau embolisasi,” ujarnya.

AVM adalah gumpalan saluran darah yang tidak normal dan tidak mempunyai kapilari di antara arteri dan vena. Ini menyebabkan pertukaran tekanan yang tidak terurus secara berkala di antara arteri dan vena. Menurut Pakar Bedah saraf Hospital Kuala Lumpur, Dr Ramesh Narenthiranathan, tekanan yang tinggi dari arteri menyebabkan pengembangan salur vena yang tidak terkawal dan tidak normal.

“Pengembangan ini, jika tidak dibendung, akan menipis dan akhirnya pecah disebabkan tekanan darah yang tinggi. Pandangan dan nasihat pakar bedah otak adalah perlu bagi memastikan rawatan yang paling sesuai dan berkesan bagi merawat penyakit ini,” ujar beliau.

Dr. Ramesh menjelaskan AVM boleh berlaku di mana sahaja di dalam bahagian otak kita, sama ada besar mahupun kecil. Apabila pendarahan berlaku, pendarahan ini adalah sedikit jika dibandingkan dengan pendarahan yang berpunca akibat daripada pendarahan ‘‘hypertensive”. Ramai pesakit mengalami kesakitan yang amat sangat namun, tidak ramai yang menyedari bahawa mereka sebenarnya pengidap penyakit AVM. Antara tanda-tandanya ialah kesakitan di bahagian sebelah kiri mahupun kanan kepala dan apabila perkara ini berlaku, pesakit perlulah menjalani rawatan imbasan CT atau MRI.

Sakit perut tanda kanser perut

Oleh Zuhayati Yazid

Gambar menunjukkan kanser perut. - Gambar hiasan


SAKIT perut jangan diambil mudah. Mungkin ramai daripada kita bila sakit perut anggap ia tidak serius dan biar hilang sendiri.

Kalau berubat pun memadai dengan menyapu minyak angin atau ambil ubat gastrik.

Tetapi hakikat yang perlu disedari ialah ia mungkin sebahagian daripada petanda awal kanser perut. Ini merupakan kanser ketujuh paling lazim dialami oleh lelaki dan kesepuluh paling lazim bagi wanita di Malaysia.

Berdasarkan statistik, kes kanser perut di negara ini telah meningkat berkali ganda sejak.

Statistik 2006 oleh Institut Kanser Kebangsaan menunjukkan kaum Cina mewakili 61. 7 peratus daripada pesakit kanser perut. Ini diikuti Melayu (25.9 peratus) dan India (12.4 peratus).

Pakar Perunding Gasteorologi Hospital Pusat Kanser Kebangsaan Tokyo, Jepun, Dr. Tekeshi Sano berkata, ramai tersalah anggap mengenai sakit perut sebagai masalah kesakitan biasa ekoran tersilap makan atau terlambat makan.

''Keadaan tersebut sekiranya dibiarkan berlarutan, ia akan memberikan kesan sehingga membawa maut,''katanya ketika membentangkan kertas kerja pada Kongres Ketiga Kanser Gastroesofageal di Pusat Perubatan Sunway, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Dr. Sano, jika seseorang mengalami sakit perut lebih daripada dua kali seminggu secara berterusan ia kemungkinan mereka diserang kanser perut.

''Pemeriksaan awal penting untuk mengenal pasti atau mengesan kanser pada pesakit.

"Walaupun tidak ada gejala dan tidak mempunyai sejarah penyakit kanser perut, namun penyakit ini boleh menyerang tanpa

sebarang tanda.

''Adalah penting untuk menjalani pemeriksaan atau ujian,'' ujar beliau.

Jelas beliau, melalui teknologi moden, kanser perut boleh dikesan tanpa perlu membuat pembedahan dan juga cepat.

''Kanser perut ini boleh dikesan menggunakan kaedah endoskopi. Satu tiub dengan lensa video pada hujungnya yang dimasukkan ke dalam perut menerusi mulut ataupun dubur.

''Menggunakan kaedah ini, keseluruhan dinding boleh diperiksa. Contoh tisu di tempat-tempat yang disyaki akan diambil untuk menentukan kehadiran sel barah itu,'' ujarnya.

Proses itu tidak menyakitkan kerana pesakit akan diberikan dos pelali terlebih dahulu.

Bagaimanapun, terdapat juga yang membuat secara terangan di mana satu alat sebesar jari kelingking akan dimasukkan melalui mulut.

Katanya, mereka yang menjalani rawatan tersebut dikenakan caj yang minimum kerana ada subsi kerajaan.

Kata Dr. Sano, sekiranya terdapat sel yang menyebabkan kanser dan masih di peringkat awal, pembedahan tidak perlu di lakukan.

''Ia boleh dikeluarkan menggunakan endoskop, bagaimanapun sekiranya berada di tahap yang serius pembedahan susulan akan dilakukan bagi mengelakkan keadaan semakin kritikal", kata beliau lagi.

Malah jangka masa untuk membuat rawatan itu juga tidak terlalu lama iaitu selama 10 hingga 20 minit.

Bagaimanapun sekiranya pesakit berada ditahap yang kritikal iaitu peringkat tiga dan empat ia mungkin sukar untuk dirawat.

''Rawatan bagi mereka ini lebih kepada radioterapi ataupun kemoterapi. Jalani pemeriksaan awal kerana ia boleh dikawal secepat mungkin," katanya.

Cara mengawal kanser perut

- Amalkan tabiat pemakanan yang sihat. Apa yang anda makan dan cara makan amat penting. Makanlah secara sederhana, pada waktu yang ditetapkan dan makanlah dengan tenang.

- Kekalkan berat badan yang sihat. Masalah pencernaan boleh terjadi tidak kira berapa berat badan anda. Tetapi, pedih hulu hati, kembung dan sembelit lebih ketara di kalangan mereka yang terlebih berat badan.

- Senaman aerobik yang meningkatkan kadar pernafasan dan degupan jantung juga merangsang aktiviti otot-otot usus, membantu untuk membuang sisa-sisa makanan melalui usus anda dengan lebih cepat. Lakukan sekurang-kurangnya 30 minit aktiviti aerobik setiap hari.

- Kawal tekanan. Tekanan akan meningkatkan risiko anda menghidap sakit jantung dan strok, melemahkan sistem ketahanan anda dan boleh mencetus atau memburukkan lagi masalah kulit yang dialami. Ia juga meningkatkan penghasilan asid perut dan memperlahankan sistem pencernaan.

- Disebabkan tekanan merupakan sesuatu yang sukar untuk dielakkan bagi kebanyakan orang, cara terbaik adalah mengawalnya dengan berkesan.

- Salah satu langkah paling mudah dilakukan ialah dengan mengamalkan diet berkhasiat, dapatkan rehat secukupnya, lakukan senaman dan rehat dengan cara-cara yang menyihatkan. Jika anda bermasalah untuk berehat, anda boleh mengambil meditasi, yoga atau tai chi.

Didik anak bawa bekal





SEBAGAI ibu bapa, kita memainkan peranan yang sangat signifikan dalam memastikan anak-anak mendapat makanan yang berkhasiat, selamat dan seimbang.

Anak-anak wajar didedahkan dengan tabiat pemakanan yang sihat selain perlu tahu bahawa setiap hari tubuh badan mereka memerlukan zat-zat makanan tertentu yang cukup untuk menjalani kehidupan yang sihat.

Pada masa sama, mereka juga perlu dididik bahawa pengambilan gizi makanan yang tidak seimbang akan memberi kesan negatif dalam jangka masa pendek dan panjang terhadap diri mereka seperti kegemukan, kencing manis, sakit jantung dan sebagainya.

Antara amalan terbaik ialah menggalakkan anak-anak membawa bekalan makanan dari rumah ketika ke sekolah.

Melalui cara ini juga sebagai ibu bapa, kita dapat memastikan anak-anak mendapat khasiat secukupnya daripada pemakanan mereka kerana kita sendiri yang menyediakan makanan tersebut.

Ingat tu....

Perkara yang dipandang remeh oleh suami boleh menjadi kanser kepada isteri.

Kepada para suami khususnya dan kaum lelaki amnya, janganlah dianggap masalah hati dan perasaan orang perempuan ni enteng sahaja.

Allah s.w.t. berfirman, "Dan ketahuilah bahawasanya Allah mengetahui apa yang didalam hatimu, sebab itu berhati-hatilah dengan Tuhan"

Suami diberi tanggungjawab yang amat besar sebagai pemimpin keluarga. Kepimpinan seorang suami bukan bermakna dia berkuasa melakukan apa sahaja.

Apa yang dimaksudkan sebagai kepimpinan ialah seorang suami yang mampu memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya.

Melayan isterinya serta keluarganya dengan baik, menjadi pelindung kepada keluarganya dan yang paling penting harus menjadi pendakwah dalam keluarganya.

Isteri juga mempunyai peranan dan tanggungjawab dalam keluarga. Ketaatan dan kesetiaan seorang isteri menjamin kebahagiaan rumahtangga yang dibina.

Isteri harus menjaga kehormatan dirinya semasa ketiadaan suami selain ikhlas dan sabar menjaga anak-anak dan harta dalam rumah tangga.

Apabila suami atau isteri tahu dan sedar tanggungjawab masing-masing, pembentukan keluarga sakinah akan tercapai.

Sebuah keluarga yang sakinah bukan sahaja boleh dibentuk melalui peranan isteri dan suami malah meliputi anak-anak dan ahli keluarga yang lain.

Oleh itu, keluarga yang dibentuk harus padat dan lengkap secara berterusan dan konsisten mengamalkan nilai-nilai sakinah yang telah diunjurkan dalam al-Quran dan Sunnah.

Petikan Yadim - Sakinah: Bahagia Sebuah Keluarga

29 November 2010

Kita Terperangkap Dalam Zon Selesa


Bila menyelusuri beberapa buah blog dan tulisan di dalam facebook teman-teman, sudah ada di kalangan mereka yang mencatat betapa masa begitu pantas berlalu. Baru tersedar bulan November sudah menjengah. Tak lama nanti, Disember pun menyusul dan tahun 2010 akan pergi dalam lipatan kalendar.

Ya, masa itu begitu cepat berlari, andainya kita hanya berpusing di atas paksi yang sama, berkitar dalam orbit yang serupa. Jika dari hari ke hari, dari minggu ke minggu dan dari bulan ke bulan kita lakukan perkara yang sama secara berulang-ulang, maka kita sudah jadi umpama robot. Begitulah kita, bila kehidupan sudah dicarta oleh suasana di sekeliling.

Rutin bangun pagi, gosok gigi, pergi kerja, makan tengahari, sambung kerja, pulang ke rumah, makan malam, menonton TV dan kemudian tidur akan dilakukan setiap hari. Kita lalui ia tanpa jemu-jemu. Tanpa sedar kita lakonkan skrip perulangan ini dengan rela hati kerana kita berasa selamat di dalam acuan yang kita cipta sendiri. Zon selesa sudah menjadi kepompong kehidupan diri. Sebab itulah, jiwa meneroka, jiwa mengembara mahupun naluri survival kita sudah tumpul.

Kerana itu, kita aktif dalam sukan bolasepak, boling, skuasy, lumba kereta dan perahu layar. Kita aktif sebagai penyelam skuba, memanjat gunung, mencari artifak di hutan Amazon dan terjun dari kapalterbang dengan kelajuan 80 kilometer sejam. Tetapi kesemuanya kita lakukan sambil mengunyah karipap di depan TV! Kita terlibat dan cemas menghadapi gempa bumi, banjir besar, tanah runtuh, kemalangan, taufan, peperangan, pembunuhan dan pemberontakan. Tetapi kesemua itu pun kita saksikan sebagai penonton.

Sekadar Menjadi Penonton, Bukan Pengubah

Akibat terkurungnya diri di dalam putaran yang kita cipta sendiri, maka kita menjadi insan yang pasif. Apa sahaja yang terjadi pada dunia hanya ditatap. Hanya mata yang merakam. Tetapi otak masih beku untuk simpati, apatah lagi empati. Bila hati dah jemu, kita alih saluran TV untuk menonton hiburan demi hiburan demi hiburan.

Malangnya, di sini pula kita teruja. Perasaan geram, meluat, marah atau pun berasa sedih hingga mengalirkan air mata boleh pula terjadi andainya calon bakat artis pilihan di dalam sebuah rancangan realiti gagal untuk memasuki pusingan seterusnya. Mengapa kita sudah jadi begini?

Tidakkah ada rasa bersalah, apatah berasa rendah diri kerana hanya menjadi penonton dan bukannya pengubah kepada apa yang berlaku di sekeliling kita? Bukankah sedari kecil, kita berani, kita degil, kita suka mencuba apa yang dilarang oleh orang tua kerana jiwa kembara kita yang membara?

Ya, sewaktu kecil dahulu kita boleh bermandi hujan. Hari ini kita berlari dari padang letak kereta ke pejabat semata-mata kerana takut kepala kita pening terkena hujan gerimis. Dahulu, kita boleh terjun ke sungai dan berkubang di dalam sawah. Hari ini, kita terketar-ketar hendak melangkah parit kecil menuju ke gerai pasar malam. Dahulu, kita berani panjat pokok. Hari ini, semangat kita hendak terbang ketika memanjat tangga untuk menyapu sawang di siling rumah.

Seharusnya, semakin kita dewasa, kita menjadi semakin handal, semakin berani dan semakin pakar dalam apa jua bidang yang kita terokai. Hari ini lebih bagus daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Itulah yang seharusnya menjadi semangat untuk memaju diri. Umpama berlian yang semakin lama semakin keras dan semakin tinggi nilainya. Bukan seperti bangkai yang semakin lama semakin busuk, semakin reput dan akhirnya menjadi debu.

Tetapi, kerana terlupa untuk bermuhasabah diri, kita biarkan diri hanyut di arus kehidupan. Hinggakan kita ada kerja, tetapi tiada kerjaya, ada daya tetapi tiada usaha, ada keinginan tetapi tiada hasrat dan ada mimpi tetapi tiada impian. Begitulah bila kita biarkan minda dipengaruhi unsur-unsur dari luar sehinggakan suara hati sendiri telah tenggelam.

Berubah Dengan Menambah

Berubahlah. Berubah dengan menambah. Apakah bahasa baharu, buku baharu, hobi baharu atau surah baru yang sudah dihafal pada tahun ini? Apakah jumlah sedekah kita sudah bertambah? Apakah kita boleh menerima teknologi baru, jika bukan sebagai penciptanya, sekurang-kurangnya sebagai penggunanya?

Kalau kita menutup buku sebaik sahaja kita menyimpan skrol ijazah, kalau kita menutup hati sebaik sahaja kita melipat sejadah, maka kita akan jadi sama seperti orang lain di luar sana. Mereka di luar akan bercakap ~ bukan bertutur, mengagak ~ bukan mentafsir, mengira ~ bukan mencongak, kasihan ~ bukan prihatin dan pandai bertanya tetapi tidak reti menyoal. Kita jadi orang biasa di kalangan orang yang biasa.

Jika dipandang dari langit, kita seperti sekelompok haiwan yang berkulit, berwajah dan bertindak mengikut apa yang dibuat oleh haiwan yang lain. Jika begitulah kita, sukar juga kita menjadi insan terpilih. Kreatifnya Allah Al-Mussawir, membentuk wajah-wajah manusia yang berbeza. Meskipun kita semua mempunyai dua mata, dua telinga, satu hidung dan satu mulut. Tidak ada satu pun wajah kita di antara berbilion manusia yang lain mempunyai yang serupa. Sehinggakan pasangan kembar pun ada perbezaan raut wajahnya. (Yang punyai wajah yang serupa hanyalah pelanduk!)

Oleh kerana tidak ada satu pun manusia yang sama seperti kita, sewajarnyalah kita menjadi insan unik. Punyai identiti, hasrat, impian, iltizam mahupun istiqamah yang lain daripada orang lain. Kita patut begitu kerana bukan orang lain. Kita adalah diri kita.

Kita bukannya stereotaip!

Mengapa Hawa tercipta saat Adam tertidur dan Hawa melahirkan saat dirinya terbangun??

by Blog Nya Mas Rully on Thursday, November 25, 2010 at 3:53pm

Seorang laki-laki jika dia kesakitan, maka dia akan membenci. Sebaliknya wanita, saat dia kesakitan, maka semakin bertambah sayang dan cintanya,, Seandainya Hawa diciptakan dari Adam disaat Adam terjaga, pastilah Adam akan merasakan sakit keluarnya Hawa dari sulbinya, hingga dia membenci Hawa. Akan tetapi Hawa diciptakan dari Adam saat dia tertidur, agar Adam tidak merasakan sakit dan tidak membenci Hawa. Sementara seorang wanita akan melahirkan dalam keadaan terjaga, melihat kematian dihadapannya, namun semakin sayang dan cinta nya kepada anak yang dilahirkan bahkan ia akan menebus nya dengan kehidupannya.

Sesungguhnya Allah menciptakan Hawa dari tulang rusuk yang bengkok yang tugasnya adalah melindungi Qalbu(jantung, hati nurani). Oleh karena itu, tugas Hawa adalah menjaga qalbu. Kemudian Allah menjadikan nya bengkok untuk melindungi qalbu dari sisi yang kedua. Sementara Adam diciptakan dari tanah, dia akan menjadi petani, tukang batu, tukang besi, dan tukang kayu. Wanita selalu berinteraksi dengan perasaaan, dengan hati, dan wanita akan menjadi seorang ibu yang penuh kasih sayang, seorang saudari yang penyayang, seorang putri yang manja, dan seorang istri yang penurut.

Dan wajib bagi Adam untuk tidak berusaha meluruskan tulang yang bengkok tersebut, seperti yang dikabarkan oleh Nabi Muhammad SAW, “jika seorang lelaki meluruskan yang bengkok tersebut dengan serta merta, maka dia akan mematahkannya.” Maksud nya adalah dengan kebengkokan tersebut adalah perasaan yang ada pada diri seorang wanita yang mengalahkan perasaan seorang laki-laki.

Maka wahai Adam janganlah merendahkan perasaan Hawa, dia memang diciptakan seperti itu. Apabila seseorang wanita mengatakan dia sedang bersedih, tetapi dia tidak menitikkan airmata, itu berarti dia sedang menangis di dalam hatinya. Apabila dia tidak menghiraukan kamu setelah kamu menyakiti hatinya, lebih baik beri dia waktu untuk menenangkan hatinya sebelum kamu meminta maaf. Dan wanita sulit untuk mencari sesuatu yang dia benci untuk orang yang paling dia sayang ,,,,,,,

Solat Tahajud Usir Penyakit

Solat Tahajud Usir Penyakit

Tidak dapat dinafikan tidur adalah satu amalan yang perlu dan pasti bagi setiap insan yang menghuni alam yang fana ini. Manusia bukan enjin. Ia tidak dapat bekerja tanpa rehat. Enjin boleh digerakkan tanpa rehat selagi perkara yang diperlukan olehnya seperti minyak dan sebagainya dapat kita penuhi.

Manusia walau pun mendapat cukup makan dan minum akan merasa penat sekiranya bekerja terus menerus tanpa rehat. Tanpa rehat, tenaga manusia akan terus berkurangan. Cara berehat sebaik-baiknya bagi manusia bukanlah dengan berhenti bekerja, tetapi dengan tidur.

Melalui tidur tenaga manusia yang digunakan semasa bekerja dapat dipulihkan kembali kerana pada waktu tidurlah segala anggota yang diguna untuk bekerja berhenti daripada tugasnya. Pentingnya tidur dan waktu rehat itu diakui Allah dengan firman-Nya yang bermaksud "Allahlah yang membelah Subuh dan yang menjadikan malam untuk rehat dan menjadikan matahari dan bulan untuk menjadi sumber segala perhitungan. Inilah ketentuan Yang Maha Kuasa dan Yang Maha Mengetahui". (Surah Al-An'am, ayat 96).

Walaupun dalam ayat di atas Allah menyatakan malam untuk berehat, sebagai hamba Allah tidak seharusnya menggunakan waktu malam itu untuk tidur semata-mata. Kita seharusnya ingat dan sedar kepada motif dan tujuan Allah menjadikan manusia. Motif Allah menjadikan manusia jelas dinyatakan dengan firman-Nya yang bermaksud:"Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat menyembah-Ku". (Surah Az-Dzaariyaat, ayat 56).

Daripada ayat di atas dapatlah kita mengambil pengajaran bagaimana kita harus menggunakan waktu malam. Jika pada siang hari kita menggunakan kira-kira 100 peratus masa untuk kerja dunia, pada waktu malam kita peruntukkan sebahagiannya untuk berhubung dengan Allah. Dan cara yang sebaik-baiknya untuk berhubungan dengan Allah ialah bangun mengerjakan solat Tahajud atau sembahyang tengah malam.

Sesungguhnya, bangun di tengah malam untuk bertahajud banyak kelebihan dan besar pahalanya. Ini jelas dari Firman Allah yang bermaksud: "Dan dari malam itu hendaklah engkau bangun Tahajud sebagai nafilah (ibadah tambahan) bagimu. Moga-moga Allah akan mengangkatmu ke tingkat yang terpuji". (Surah Al-Israk, ayat 79).

Amalan untuk bangun bertahajud adalah satu perbuatan yang amat berat untuk mengerjakannya. Keadaan tubuh yang letih dan lesu menyebabkan sesetengah orang itu tidur seperti mati tidak sedarkan diri lagi walau pun puas dikejutkan. Matanya akan bertambah mengantuk dan tubuhnya bertambah penat apabila mereka tidur lewat kerena asyik menonton televisyen. Keadaan sejuk dan suasana sepi di tengah malam juga menjadi faktor seseorang nyenyak tidur dan merasa keberatan untuk berhubungan dengan Allah.

Satu persoalan yang boleh diketengahkan di sini ialah mengapakah Allah meletakkan waktu sembahyang Tahajud itu di tengah malam ketika suasana sunyi sepi dan penuh kesejukan? Jawapannya ialah untuk menguji sejauh manakah taatnya seseorang makhluk yang mengaku dirinya bertuhankan Allah. Manusia yang betul-betul yakin dan patuh kepada Allah tidak akan keberatan bangun di tengah malam untuk bertahajud.

Sesungguhnya sembahyang Tahajud satu daripada sembahyang sunat sahaja. Tetapi sembahyang ini mempunyai mempunyai nilai dan kedudukan yang tinggi sekali berbanding dengan sembahyang sunat lain. Rasulullah bersabda: " Hendaklah kamu Qiamullail (solat malam) kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa atau kejahatan dan mengusir penyakit dari badan". (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi).

Tetapi sedikit sekali umat manusia yang mengaku dirinya beragama Islam ini sanggup dan bersedia melakukan sembahyang Tahajud walaupun mereka sedar tingginya kedudukan dan nilai solat berkenaan. Sesungguhnya manusia akan berlumba-lumba melakukan Tahajud jika dapat merasa betapa sedap dan nikmatnya melakukan amalan itu. Kenyataan itu membuktikan bahawa peminat bola sepak akan bangun jam 2 pagi untuk menonton tayangan siaran secara langsung walau pun hanya keseorangan. Ini adalah lantaran perasaan dan dorongan minatnya yang berkobar-kobar. Pada hal ulangan tayangan kepada perlawanan itu biasanya akan dibuat pada waktu siang beberapa hari kemudiannya.

Tidak bolehkah perbuatan yang sama kita lakukan untuk bersembahyang Tahajud? Kita merasa keberatan untuk bangun melakukan sembahyang yang tersebut kerana kita tidak dapat merasai betapa lazat dan nikmatnya sembahyang Tahajud. Keheningan malam seolah-olah akan memberi kesempatan untuk merapatkan jurang perhubungan antara makhluk dengan khaliq. Apa yang dibaca oleh seseorang ketika bersembahyang itu seolah-olah didengar dan mendapat layanan daripada Allah Yang Maha Kuasa. Biasanya permohonan seseorang untuk mendapat sesuatu itu cepat diterima dan dilayan apabila tidak ramai yang memohonnya.

Oleh itu mohonlah keampunan dan limpahan dari Allah ketika orang lain sedang nyenyak tidur. Berhubunglah dengan Allah ketika peluang masih ada, umur masih muda dan pintu taubat masih terbuka. Insya- Allah kita akan mendapat limpahan rahmat daripada Allah.

Sumber:

rencana@hmetro.com.my

MAJLIS PELANCARAN PEMANTAPAN PERANAN GURU PEMULIHAN KHAS DALAM PROGRAM LINUS NEGERI JOHOR 2010

Pada hari Selasa, 2 November 2010 telah berlangsung Majlis Pelancaran Pemantapan Peranan Guru Pemulihan Khas dalam LINUS DI Sk.Sri Bukit Pasir Muar.Seramai 5 orang dari setiap daerah dan semua guru Pemulihan Khas sekolah rendah Parlimen Pagoh telah hadir untuk mendengar taklimat dan majlis pelancaran tersebut.

Ucapan Mejar Sazali bin Abd. Hamid, Ketua Unit Pemulihan Jabatan Pelajaran Negeri Johor


Ucapan Tn. Hj. Mohd. Salihuddin Bin Rasul, Pegawai Penyelaras Pendidikan Parlimen Pagoh


Ucapan Pn. Hajjah Zaleha Bt. Othman,Ketua Unit Pemulihan , Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia


Ketibaan vip jemputan yang diiringi dengan paluan kompang..

Ucapan alu- aluan oleh En. Md Noh Bin Ghani,Ketua Sektor Akademik Jabatan Pelajaran negeri Johor, Wakil rasmi Pengarah Pelajaran Johor.

Ucapan perasmian oleh Datuk Dr. Shahruddin Bin Md. Salleh, ADUN JORAK merangkap Pengerusi Sekretariat Motivasi Dan Latihan Parlimen Pagoh.


Cikgu Normala Sudirman Juru Latih Utama Pemulihan telah diamanahkan menjadi pengacara majlis. Alhamdulillah , beliau telah melaksanakan yang terbaik walaupun dalam keadaan persiapan masa yang cukup terbatas.

Tahniah sahabat ku Cikgu Faizah Abd.Thani,

Petikan dari blog sahabatku Pn.Faizah Thani.......

SYUKUR

Syukur Alhamdulillah. Kalimah pertama yang terkeluar dari mulut saya apabila Guru Besar saya memaklumkannya. Jika sebelum ini, saya hampir berputus asa menunggunya, namun segala-galanya terjawablah sudah.

Terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan kepada Pn. Norlilawati, Guru Besar saya yang telah banyak memberikan sokongan dan dorongan kepada saya. Tanpa sokongan dan dorongan beliau tentu saya tidak sampai ke tahap ini. Beliau memaksa saya mengisi borang pencalonan guru cemerlang awal tahun ini. Saya mengisinya tanpa menaruh harapan apa-apa bersama beberapa rakan yang lain.

Memang terkejut saya apabila saya terpilih untuk dipantau oleh pihak nazir dalam bulan Mac tempoh hari. Masih saya ingat lagi bagaimana gementarnya saya semasa dipantau. Makin tercabar apabila LCD yang saya gunakan sebelumnya dalam keadaan baik, tiba-tiba tak berfungsi. Nasib baik ada alternatif lain. Saya gunakan kad gambar dan perkataan saja.

Alhamdulillah sekali lagi di atas kejayaan ini. Dengan ini bermakna tugas saya semakin berat untuk tahun-tahun yang akan mendatang. Menjaga status 'Guru Cemerlang' itu bukanlah senang. Orang akan menganggap kita yang terbaik dan dijadikan tempat rujukan. Saya harus lebih bersedia dan mendahului dalam semua perkara. Nasib baik saya ada 'sifu' yang boleh dijadikan panduan. Siapa lagi kalau bukan kak Aisah yang merupakan guru cemerlang pemulihan juga.

Semoga lebih ramai lagi guru pemulihan yang akan menjadi Guru Cemerlang selepas ini, kerana sememangnya belum ramai lagi di kalangan kita yang berada di tahap ini. Insya Allah

Selagi ada cinta
Di situ ada kebahagiaan...

Selagi ada usaha
Di situ ada kejayaan...