Bila menyelusuri beberapa buah blog dan tulisan di dalam facebook teman-teman, sudah ada di kalangan mereka yang mencatat betapa masa begitu pantas berlalu. Baru tersedar bulan November sudah menjengah. Tak lama nanti, Disember pun menyusul dan tahun 2010 akan pergi dalam lipatan kalendar.
Ya, masa itu begitu cepat berlari, andainya kita hanya berpusing di atas paksi yang sama, berkitar dalam orbit yang serupa. Jika dari hari ke hari, dari minggu ke minggu dan dari bulan ke bulan kita lakukan perkara yang sama secara berulang-ulang, maka kita sudah jadi umpama robot. Begitulah kita, bila kehidupan sudah dicarta oleh suasana di sekeliling.
Rutin bangun pagi, gosok gigi, pergi kerja, makan tengahari, sambung kerja, pulang ke rumah, makan malam, menonton TV dan kemudian tidur akan dilakukan setiap hari. Kita lalui ia tanpa jemu-jemu. Tanpa sedar kita lakonkan skrip perulangan ini dengan rela hati kerana kita berasa selamat di dalam acuan yang kita cipta sendiri. Zon selesa sudah menjadi kepompong kehidupan diri. Sebab itulah, jiwa meneroka, jiwa mengembara mahupun naluri survival kita sudah tumpul.
Kerana itu, kita aktif dalam sukan bolasepak, boling, skuasy, lumba kereta dan perahu layar. Kita aktif sebagai penyelam skuba, memanjat gunung, mencari artifak di hutan Amazon dan terjun dari kapalterbang dengan kelajuan 80 kilometer sejam. Tetapi kesemuanya kita lakukan sambil mengunyah karipap di depan TV! Kita terlibat dan cemas menghadapi gempa bumi, banjir besar, tanah runtuh, kemalangan, taufan, peperangan, pembunuhan dan pemberontakan. Tetapi kesemua itu pun kita saksikan sebagai penonton.
Sekadar Menjadi Penonton, Bukan Pengubah
Akibat terkurungnya diri di dalam putaran yang kita cipta sendiri, maka kita menjadi insan yang pasif. Apa sahaja yang terjadi pada dunia hanya ditatap. Hanya mata yang merakam. Tetapi otak masih beku untuk simpati, apatah lagi empati. Bila hati dah jemu, kita alih saluran TV untuk menonton hiburan demi hiburan demi hiburan.
Malangnya, di sini pula kita teruja. Perasaan geram, meluat, marah atau pun berasa sedih hingga mengalirkan air mata boleh pula terjadi andainya calon bakat artis pilihan di dalam sebuah rancangan realiti gagal untuk memasuki pusingan seterusnya. Mengapa kita sudah jadi begini?
Tidakkah ada rasa bersalah, apatah berasa rendah diri kerana hanya menjadi penonton dan bukannya pengubah kepada apa yang berlaku di sekeliling kita? Bukankah sedari kecil, kita berani, kita degil, kita suka mencuba apa yang dilarang oleh orang tua kerana jiwa kembara kita yang membara?
Ya, sewaktu kecil dahulu kita boleh bermandi hujan. Hari ini kita berlari dari padang letak kereta ke pejabat semata-mata kerana takut kepala kita pening terkena hujan gerimis. Dahulu, kita boleh terjun ke sungai dan berkubang di dalam sawah. Hari ini, kita terketar-ketar hendak melangkah parit kecil menuju ke gerai pasar malam. Dahulu, kita berani panjat pokok. Hari ini, semangat kita hendak terbang ketika memanjat tangga untuk menyapu sawang di siling rumah.
Seharusnya, semakin kita dewasa, kita menjadi semakin handal, semakin berani dan semakin pakar dalam apa jua bidang yang kita terokai. Hari ini lebih bagus daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini. Itulah yang seharusnya menjadi semangat untuk memaju diri. Umpama berlian yang semakin lama semakin keras dan semakin tinggi nilainya. Bukan seperti bangkai yang semakin lama semakin busuk, semakin reput dan akhirnya menjadi debu.
Tetapi, kerana terlupa untuk bermuhasabah diri, kita biarkan diri hanyut di arus kehidupan. Hinggakan kita ada kerja, tetapi tiada kerjaya, ada daya tetapi tiada usaha, ada keinginan tetapi tiada hasrat dan ada mimpi tetapi tiada impian. Begitulah bila kita biarkan minda dipengaruhi unsur-unsur dari luar sehinggakan suara hati sendiri telah tenggelam.
Berubah Dengan Menambah
Berubahlah. Berubah dengan menambah. Apakah bahasa baharu, buku baharu, hobi baharu atau surah baru yang sudah dihafal pada tahun ini? Apakah jumlah sedekah kita sudah bertambah? Apakah kita boleh menerima teknologi baru, jika bukan sebagai penciptanya, sekurang-kurangnya sebagai penggunanya?
Kalau kita menutup buku sebaik sahaja kita menyimpan skrol ijazah, kalau kita menutup hati sebaik sahaja kita melipat sejadah, maka kita akan jadi sama seperti orang lain di luar sana. Mereka di luar akan bercakap ~ bukan bertutur, mengagak ~ bukan mentafsir, mengira ~ bukan mencongak, kasihan ~ bukan prihatin dan pandai bertanya tetapi tidak reti menyoal. Kita jadi orang biasa di kalangan orang yang biasa.
Jika dipandang dari langit, kita seperti sekelompok haiwan yang berkulit, berwajah dan bertindak mengikut apa yang dibuat oleh haiwan yang lain. Jika begitulah kita, sukar juga kita menjadi insan terpilih. Kreatifnya Allah Al-Mussawir, membentuk wajah-wajah manusia yang berbeza. Meskipun kita semua mempunyai dua mata, dua telinga, satu hidung dan satu mulut. Tidak ada satu pun wajah kita di antara berbilion manusia yang lain mempunyai yang serupa. Sehinggakan pasangan kembar pun ada perbezaan raut wajahnya. (Yang punyai wajah yang serupa hanyalah pelanduk!)
Oleh kerana tidak ada satu pun manusia yang sama seperti kita, sewajarnyalah kita menjadi insan unik. Punyai identiti, hasrat, impian, iltizam mahupun istiqamah yang lain daripada orang lain. Kita patut begitu kerana bukan orang lain. Kita adalah diri kita.
Kita bukannya stereotaip!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan